Penerangan untuk Buletin SK Seri Paka
MAJLIS PELUNCURAN KERANGKA ANTIBULI SEKOLAH 2026
Pada 29 Julai 2026 (Rabu), Sekolah Kebangsaan Seri Paka telah menganjurkan Majlis Peluncuran Kerangka Antibuli Sekolah 2026 serta Ceramah Kesedaran Anti Buli dan Sahsiah Terpuji. Program yang berlangsung dari 8.00 pagi hingga 9.30 pagi di Dataran Perhimpunan SK Seri Paka ini merupakan anjuran bersama Unit Bimbingan dan Kaunseling, Unit Disiplin SK Seri Paka serta Majlis Guru Kaunseling Kebangsaan (MGKK).

Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran warga sekolah tentang bahaya buli, memupuk nilai empati, hormat-menghormati dan kasih sayang sesama rakan, di samping membentuk persekitaran sekolah yang selamat, harmoni dan bebas daripada sebarang bentuk buli. Ceramah telah disampaikan oleh pegawai jemputan dari Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Dungun, yang berkongsi pengetahuan mengenai kesan buli, tanggungjawab murid serta langkah-langkah pencegahan.

Pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan sepanjang program, antaranya Ceramah Disiplin: "Membina Sahsiah Diri: Saya Bukan Pembuli!", Pertandingan Mewarna Tahap 1, dan aktiviti membina poster Gerakan Kami Anti Buli bagi murid-murid sekolah. Aktiviti-aktiviti ini berjaya menarik penyertaan aktif murid serta memberi pendedahan secara kreatif mengenai kepentingan membendung budaya buli.
Sebagai tanda komitmen bersama, seluruh warga SK Seri Paka turut menghayati nilai-nilai murni seperti menyayangi diri dan orang lain, bercakap dengan baik, membantu rakan, berani melaporkan kes buli, serta saling menghormati dan menghargai antara satu sama lain.
Diharapkan program ini dapat memperkukuhkan budaya penyayang dalam kalangan warga sekolah dan menyokong aspirasi "Hentikan Buli, Bina Empati", selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia untuk melahirkan murid yang berakhlak mulia, berdisiplin serta bertanggungjawab. Dengan kerjasama semua pihak, SK Seri Paka akan terus menjadi sebuah sekolah yang selamat, kondusif dan bebas daripada gejala buli.

